Friday, May 31, 2013

Penakut

Alkisahnya di awal milenia suatu ketika dahulu, ketika aku masih lagi remaja mentah, penuh dengan jerawat dan amukan hormon testosteron. Aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah berasrama  penuh di utara tanah air. Ketika inilah aku mula mengembangkan minatku terhadap perempuan. Yalah, sebelum itu aku bersekolah di sekolah satu jantina. Semuanya lelaki. Jadi di sekolah baruku itu, aku berpeluang untuk bereksperimentasi dan melakukan eksplorasi dalam mengenal diriku dengan lebih mendalam.

Tetapi bukan berkenaan perempuan yang ingin aku ceritakan. Ya, bercerita mengenai perempuan terutamanya pada zaman sekolah dahulu memang mengujakan, tetapi hari ini aku tidak ada mood untuk bercerita mengenai sisi feminin aku. Sebaliknya aku ingin bercerita mengenai sisi maskulinku. Ya, sisi macho aku. Secara jujurnya, aku mengkategorikan diriku sebagai seorang alpha-male ketika di sekolah dahulu. Ya, lelaki alfa. Jika kami ialah sekumpulan serigala, aku ialah serigala yang akan makan dahulu, dan apabila aku selesai makan barulah serigala-serigala lain akan memakan sisa-sisaku.

Aku ialah lelaki yang paling vokal dalam kumpulanku. Kepimpinan dan kecerdikan jalanan aku merupakan kekuatan utamaku. Hormon-hormon remajaku menjadikan aku seorang yang agresif dan ekspresif. Aku juga  banyak menonjolkan kekuatan fizikalku, dengan menyertai banyak acara sukan seperti bola sepak, ragbi dan olahraga. Tetapi tidak ramai yang tahu, aku takla kahaq mana pun. (kahaq=lasak, kuat, kasar)

Penakut lebih.

Aku tak pernah terlibat dalam direct, head on fight. Jika rakan-rakanku tengah sibuk memukul atau meragging junior, aku akan jadi 'mat tempek'. Strategi yang paling bacul bijak sekali. Ketika si mangsa sedang dikerumuni dan dipukul oleh orang ramai, aku akan 'menempek' sekali. Akan hinggaplah tendangan dan tumbukan dariku, tetapi si mangsa tu tak akan tahu yang aku memukulnya. Orang putih kata 'kick a man when he's down'. Aku juga takut gelap, sebab itu katilku berada betul-betul di tepi pintu. Aku akan sengaja buka pintu sedikit ketika lights off supaya cahaya dapat masuk.

Tetapi tidak ramai yang tahu betapa penakutnya aku. Di sebalik maskuliniti, di sebalik kegresifan dan di sebalik kelantangan.

Aku juga rajin kejut orang. (kejut=gertak,marah,threaten). Tetapi tidak ramai yang tahu aku kejut ja lebih. Mungkin kerana kebanyakan orang yang aku kejut bertindak submisif terhadap kejutan aku. "hang menjawab sekali lagi aku rimbuk muka hang", "baju aku tak kering, aku tomoi ko". Selalunya orang-orang yang aku kejut ialah orang yang submisif, jadi mereka jarang melawan.

Jujur aku cakap, kalau diorang cuba melawan, walaupun sedikit, memang aku cuak dah. Cuba kalau depa kejut aku balik. Mesti aku mintak maaf atau lari punya. Aku bernasib baik kerana banyak orang berasa inferior dengan aku. Cuba kalau aku jumpa orang yang lagi superior. Barulah buku bertemu ruas. Barulah aku ada akai.

Tetapi ada sekali tu aku hampir bertemu dengan 'ruas' aku. Ada dalam satu perlawanan bola sepak melawan sekolah jiran, aku bermain sebagai penyerang. Jadi aku sering kali bertembung dengan salah seorang pemain pertahanan mereka. Rivalry antara sekolah kami sangat kuat, jadi banyak tolak menolak dan kekasaran berlaku dalam perlawanan tu. Sampai satu tahap, mungkin sudah fedup dengan kekasaranku, pemain pertahanan tu tidak dapat lagi menahan kesabaran lalu memegang kolar bajuku dan menggertakku. Aku takut gila time. Aku ingat lagi apa yang dia cakap kat aku.

"Kau jangan kurang ajar bro, kau tau tak aku sapa?" 
Dalam hati aku punya berdoa, janganlah kau cakap kau orang kampung belimbing, mati aku. Kampung belimbing ramai gangster.
"Aku....aku pengawas"

omgwtfbbq. Ok fine, tulis lah nama aku. Kasi demerit sekali naa. leymaa buat aku ketaq jaa.




No comments:

Post a Comment